HIDUP kita di dunia ini tidak lebih pengembara yang sedang berteduh di bawah naungan sebatang pokok di tengah padang pasir yang terbentang luas. Selepas itu kita akan berlalu meninggalkannya.
Rasulullah bersabda, maksudnya: "Hidup aku di dunia ini diibaratkan pengembara di atas kenderaan, kemudian berhenti berteduh di bawah pokok yang rendang, kemudian aku berlalu."
Kita menikmati kehidupan di dunia ini juga tidak lebih daripada untuk menghadapi ujian Allah, yang dapat mengukur sejauh mana tahap ketakwaan kita terhadap Allah bukannya semata-mata berseronok.Jika tidak diuji dengan pelbagai cubaan yang sebahagian besarnya adalah perkara tidak diingini oleh nafsu manusia, sudah tentu kita tidak dapat membuktikan diri kita sebagai seorang yang bertakwa.Ada orang mengatakan kekayaan itulah matlamat hidup di dunia tetapi ia tidak benar kerana kekayaan tidak dapat melahirkan kesejahteraan. Kadangkala harta kekayaan lesap dalam waktu yang singkat.
Sekiranya ada orang mengatakan kecantikan adalah matlamat hidupnya, itu juga salah, kerana kecantikan akan pudar apabila sampai waktunya.Jika pangkat, darjat dan pengaruhnya boleh mencapai matlamat hidupnya, ia juga salah, kerana ia tidak kekal, ada turun naik, malah boleh lenyap.Hakikatnya, yang kekal abadi dalam hidup kita di dunia ini ialah keredaan Allah.
Justeru, fahamilah hidup kita di dunia ini ialah sementara saja dan akhirat juga yang kekal selama-lamanya. Justeru, dalam mengejar dunia, berpada-padalah dan jangan sampai bekal untuk kehidupan di akhirat keciciran.
No comments:
Post a Comment